Sejarah Pusat Pengajian Pondok YIK
Suatu hakikat yang sedang berlaku, bahawa ketandusan para ulamak dan tokoh-tokoh ugama sudah pun ketara. Pemergian mereka tanpa pengganti bagi mengambil alih tempat dan tugas mereka.
Menyedari hakikat ini kerajaan negeri Kelantan telah berusaha untuk mengembalikan keutuhan ilmu ugama dan menghidupkan kembali suatu sistem pengajian agama yang telah hampir dilupai.
Maka hasil daripada beberapa penemuan, kajian dan persetujuan, tertubuhlah sebuah Pusat Pengajian Islam yang pertama di Malaysia dalam bentuk ala pondok yang bersistem dan mengikut cara baru di Telong, Bachok, Kelantan yang digelar ‘Pusat Pengajian Pondok’.
![]() |
| MAJLIS PELETAKAN BATU ASAS PENUBUHAN PONDOK OLEH KDYMM AL SULTAN KELANTAN |
![]() |
| PLAK MAJLIS PELETAKAN BATU ASAS PPP 18 / 5 / 1982 |
Perletakan batu asas penubuhan pusat ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 18 Mei 1982. Pusat ini telah memulakan operasi pada 11 Februari 1984 dengan dipimpin oleh seorang pengetua (Syeikh) dan dibantu oleh tiga orang guru penolong dengan jumlah pelajar seramai 38 orang ketika itu. Sehingga kini (2013) pusat pengajian ini mempunyai pelajar seramai 345 orang dan 27 orang tenaga pengajar. Hasrat kerajaan, semoga dari sinilah akan melahirkan ulama’ yang berwibawa.
Pada 19 Mei 1997, Lembaga Pengiktirafan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam persidangannya kali ke 149 pada 30 Mac 1997 telah membuat keputusan bersetuju mengiktiraf kurikulum Pusat Pengajian Pondok ini.
Sebahagian besar pelajar lepasan Pusat Pengajian Pondok telah melanjutkan pelajaran mereka ke Universiti al-Azhar dan kembali mengembangkan ilmu kepada masyarakat di Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya. Merekalah antara generasi yang bertanggungjawab menyambung tugas para Rasul dan Auliya’.
Menyedari hakikat inilah,maka pihak Yayasan Islam Kelantan telah diberi amanah untuk memantau perkembangan pendidikan serta melaksana langkah-langkah yang efektif bagi memastikan Pusat Pengajian Pondok terus berkembang maju serta dapat melahirkan ulama’-ulama’ muda sebagai pewaris kepimpinan masa depan.
Cadangan penubuhan
Cadangan ini bermula dalam tahun 1981 setelah beberapa kajian dan perbincangan diadakan. Yayasan Islam Kelantan telah diamanahkan untuk merealisasikan penubuhan ini.
Perletakan batu asas
Pada 18 Mei 1982 KDYMM Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan meletak batu asas pembinaan masjid pondok yang diberi nama Masjid Qudus yang siap pada penghujung tahun 1984 dan digunakan untuk tempat belajar sementara, solat berjemaah dan solat jumaat..
Pengajian sulong
Bermula pada 11 Feb. 1984 masihi bersamaan dengan 9 Jamadil Awal 1404 Hijrah dengan dipimpin oleh seorang pengetua yang digelar "Syeikh Pondok" dan dibantu oleh tiga (3) orang guru penolong, manakala pelajarnya pula seramai tiga puluh lapan (38) orang.
Asrama Panjang
Pada tahun 1985, sebuah asrama panjang telah didirikan untuk menampung tujuh puluh dua (72) orang pelajar dan meningkat kepada seratus empat (104) orang pada tahun 1986. Pada tahun 1987, satu unit bangunan yang mengandungi ruang pejabat dan bilik perpustakaan telah siap dibina.
Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP)
Pada akhir tahun 1986, seramai dua puluh lima (25) orang pelajar Kuliah Tahun 3 (Kumpulan Pertama) telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) dan lapan orang dari mereka telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada akhir tahun 1987. .
Pertukaran Nama
Dalam bulan Sept. 1987 nama Pondok Moden ditukar kepada Pusat Pengajian Pondok. Pada 4 Sept 1988 sekali lagi KDYMM Al-Sultan mengampuni perkenan merasmikan Pusat Pengajian Pondok yang telah berkembang pesat.
Sijil Tertinggi Ugama Pondok (STTUP)
Pada akhir tahun 1988 bilangan pelajar telah meningkat kepada seratus dua puluh lapan (128). Seramai lapan (8) orang pelajar Kuliah Tahun 5 (kumpulan pertama) telah mengambil peperiksaan Sijil Tertinggi Ugama Pondok (STTUP) dengan mencapai kejayaan 100%.




No comments:
Post a Comment