Legasi 51 Tahun YIK : Dari Lundang ke Pencapaian Gemilang



Hari ini, 51 tahun lalu, pada 1 Julai 1974, Kelantan melakar sejarah penting apabila Yayasan Islam Kelantan (YIK) ditubuhkan secara rasmi, bermula sebagai Jabatan Sekolah-Sekolah Agama Kelantan (JASA) yang beroperasi di Lundang di bawah kuatkuasa Enakmen Kelantan Bilangan 9 Tahun 1968 (Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan) sebagai langkah awal ke arah pembentukan sistem pendidikan Islam yang tersusun dan berdaya saing. 

Lima tahun kemudian, pada Jun 1979, JASA didaftarkan semula sebagai Yayasan Pelajaran Islam Kelantan (YPINK) di bawah Enakmen Bil. 5/1979. Namun perjalanan pembaharuan ini tidak terhenti di situ. Pada 1 Mac 1983, menerusi Enakmen Bilangan 8 Tahun 1982, ia diberi nama baharu dan kekal hingga kini sebagai Yayasan Islam Kelantan (YIK) menjadi satu jenama yang sinonim dengan kecemerlangan pendidikan agama di negeri Kelantan. 

YIK sejak awal penubuhannya berperanan memperkasa sistem sekolah agama agar relevan dengan keperluan masyarakat dan negara. Ia juga menjadi platform melahirkan pelajar cemerlang yang menyambung pengajian ke peringkat tinggi, sama ada dalam atau luar negara. 

Dalam usaha memelihara warisan keilmuan tradisional, YIK turut menubuhkan pusat-pusat pengajian Islam berkonsepkan sistem pondok serta menubuhkan pusat pengajian Bahasa Arab untuk memperkukuh penguasaan bahasa al-Quran dalam kalangan pelajar. 

Kini, selepas lebih lima dekad, YIK mengurus sebanyak 93 buah institusi pendidikan merangkumi sekolah menengah agama, sekolah tahfiz, dan pondok moden. Sistem pendidikannya terus diperkasa melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang kini dilaksanakan di lebih 83 buah sekolah di seluruh negeri. 

Pencapaian akademik turut menunjukkan peningkatan berterusan melalui pelajar yang cemerlang SPM 2024 seramai 192 pelajar memperoleh keputusan cemerlang 9A hingga 12A, manakala keputusan STAM 2024 mencatat peningkatan 2.53% berbanding tahun sebelumnya, dengan 57.08% kelulusan. Seterusnya seramai 90 pelajar memperoleh Mumtaz penuh dalam peperiksaan SMU dan SMTQ 2024, dengan kadar lulus keseluruhan sebanyak 92.18%. 

 Lebih membanggakan, sehingga tahun 2024, YIK telah berjaya melahirkan seramai 5,370 orang Huffaz, menandakan komitmen berterusan institusi ini dalam melahirkan generasi celik Al-Quran dan berilmu. 

Penubuhan YIK membuka lembaran baharu dalam landskap pendidikan negeri Kelantan. Dari pejabat kecil di Lundang, YIK kini menjadi antara institusi pendidikan Islam paling disegani dalam dan luar negara. 

1 Julai diraikan sebagai tarikh bersejarah permulaan misi besar membina generasi berilmu, berakhlak dan berteraskan nilai Islam. YIK bukan sekadar pentadbiran pendidikan, tetapi warisan intelektual dan rohani yang terus hidup dalam denyut nadi rakyat Kelantan.

Sumber : FB - Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan

No comments: