Menuntut Ilmu Hingga Ke Penghujung Hayat : Kisah Mantan Guru Pondok Moden


 


Menuntut Ilmu Hingga Ke Penghujung Hayat : Kisah Mantan Guru Pondok Moden

Inilah kisah mengagumkan seorang insan hebat, Tuan Haji Abdullah bin Abu Bakar, seorang sosok yang benar-benar menghidupkan makna “pembelajaran sepanjang hayat”.

Beliau merupakan pesara guru, dengan sekolah terakhirnya ialah SMKA Falahiah. Usai bersara, beliau tetap meneruskan khidmat sebagai pendidik di Pondok Moden YIK, membuktikan kecintaan beliau yang mendalam terhadap ilmu.

Lebih mengagumkan, beliau tidak hanya mengajar tetapi juga terus belajar. Pada usia 70 tahun, beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya pada tahun 2016.

Tidak terhenti di situ, beliau kemudian menyambung pula pengajian di peringkat PhD. Namun, Allah lebih menyayangi beliau. Pada tahun kedua pengajian (2018), beliau telah kembali ke rahmatullah akibat penyakit kanser Usus.

Akhir hayat beliau dipenuhi dengan pencarian ilmu. Salah satu sebab beliau terus belajar meskipun di usia lanjut ialah keinginan agar ilmu yang dimiliki tidak luput begitu sahaja. Dengan belajar, katanya, ilmu dapat sentiasa diperbaharui.

Kesungguhan beliau amat luar biasa sehingga beliau sanggup berulang-alik dari Pasir Mas ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta api malam semata-mata untuk bertemu penyelia tesis. Usai pertemuan, beliau terus pulang ke Kelantan keesokan harinya. Semua ini dilakukan dengan dana sendiri, tanpa mengharapkan bantuan sesiapa, semata-mata kerana cintanya kepada ilmu.

Al-Fatihah buat almarhum Tuan Haji Ustaz Abdullah bin Abu Bakar.

Meskipun kisah beliau mungkin tidak tersebar luas seperti cerita-cerita sensasi, namun semangat beliau dalam menuntut dan menyampaikan ilmu adalah contoh teladan buat kita semua, terutama yang sedang melanjutkan pelajaran.

Kisah ini telah dikongsikan oleh anak beliau, Syazathayati Abdullah, dan turut disebarkan oleh Sung Hyong-Kim. Semoga Allah merahmati roh beliau dan menjadikan ilmunya sebagai amal jariah yang berterusan.

No comments:

Post a Comment