Kg Telong, Kandis, Bachok | 10 Februari 2026
Pusat Pengajian Pondok YIK, Kg Telong telah menerima kunjungan daripada Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan bagi menjayakan Bengkel Speed Reading, satu inisiatif literasi maklumat yang bertujuan memperkenalkan teknik bacaan pantas secara sistematik dan berkesan.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha pemindahan ilmu berasaskan modul yang dibangunkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam. Bengkel yang berlangsung selama dua jam bermula pada jam 11.00 pagi itu telah dirasmikan oleh Tuan Syeikh Pondok, Tuan Guru Ustaz Haji Mohammad Aziz bin Che Man.
Dalam ucapan perasmian, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha memperkasa kemahiran membaca dalam kalangan pelajar pondok. Menurut beliau, teknik bacaan pantas yang diperkenalkan bukan sahaja membantu menjimatkan masa, malah berupaya meningkatkan tahap tumpuan serta kefahaman terhadap teks, khususnya dalam pembacaan kitab turath dan bahan akademik.
Sesi bengkel telah dikendalikan oleh Puan Rosmariyati Ab Rahman, instruktor bertauliah bagi kaedah Speed Reading PTAR. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan dengan teknik asas bacaan pantas, latihan praktikal serta tip yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai jenis bahan bacaan termasuk kitab, teks akademik dan bahan bacaan harian.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Para pelajar menunjukkan minat dan komitmen yang tinggi sepanjang sesi, manakala tenaga pengajar turut teruja dengan pendekatan yang praktikal serta mudah dipraktikkan. Suasana bengkel berlangsung secara aktif dengan sesi soal jawab dan latihan interaktif yang menceriakan.
Secara keseluruhannya, Bengkel Speed Reading ini berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kemahiran membaca serta memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan warga Pusat Pengajian Pondok YIK.
No comments:
Post a Comment